Sosilawati masih hidup?
Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 15 Jan. - Masih hidup?
Persoalan mengenai perkara itu timbul apabila salah seorang tertuduh
dalam perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati
Lawiya mendakwa melihat wanita terbabit, sembilan hari selepas mangsa
didakwa dibunuh.
R. Kathavarayan, 33, menyatakan, kelibat Sosilawati itu dilihat di
sebuah restoran di Tanjung Sepat dekat sini pada 7 September 2010 ketika
hendak menaiki kenderaan seperti jip dengan seorang lelaki yang tidak
dikenali.
Bekas pekerja Ladang Gadong itu berkata demikian sewaktu pemeriksaan
utama oleh peguamnya, Hasshahari Johari Mawi pada perbicaraan kes bunuh
Sosilawati, 47; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; peguam, Ahmad
Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin,
44.
Tertuduh itu didakwa melakukan perbuatan itu bersama-sama
Pathmanabhan, 44, dan dua lagi pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, 22, dan
R. Matan, 23, di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang,
Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos
2010.
Terdahulu, Kathavarayan memberitahu, dia ke restoran terbabit
bersama-sama Pathmanabhan selepas majikannya memintanya untuk dihantar
ke tempat tersebut.
Setibanya di restoran terbabit, dia diminta agar menunggu di dalam
kereta sementara Pathmanabhan yang juga tertuduh pertama dalam kes bunuh
itu turun untuk bertemu dengan beberapa rakannya di premis terbabit.
Selepas itu, tertuduh pertama yang turut dipanggil peguam Pathma dan
beberapa rakannya dilihat meninggalkan restoran terbabit dan menuju ke
kenderaan masing-masing.
''Semasa dalam perjalanan pulang ke ladang, di dalam kereta, saya ada
tanya peguam Pathma siapa perempuan di restoran tersebut. Pathma kata
itulah perempuan yang datang ke ladang tempoh hari.
''Saya telah tanya kepada peguam Pathma, dia (Sosilawati) nampak lain
sebab rambut pendek. Peguam Pathma kata itu perempuan sama,'' katanya.
Kathavarayan yang juga dipanggil Ravi kemudian ditunjukkan gambar Sosilawati.
''Rambut tak sama dalam gambar, pendek. Tak pasti rambut diwarnakan atau tidak. Pakaian biasa,'' jelasnya.
Bekas pekerja Ladang Gadong itu turut menyatakan, terdapat seorang
lelaki berkemeja lengan panjang bersama-sama Sosilawati namun dia tidak
mengenalinya dan hari tersebut merupakan kali terakhir dia melihat
wanita itu.
Beberapa hari selepas itu, Kathavarayan menyatakan, Pathmanabhan ada memanggilnya untuk ke rumah ibu majikannya itu.
Pada pertemuan terbabit, pemilik Ladang Gadong itu menyatakan dia
akan ditangkap pada hari tersebut namun tidak ada apa yang perlu
ditakutkan.
Majikannya itu turut memberitahunya, kalau ditangkap, akan ditahan
reman tujuh hari dan paling lama 14 hari di samping memberitahu tertuduh
bahawa dia (Pathmanabhan) akan uruskan segalanya.
Menjawab pertanyaan Hasshahari, dia tidak terkejut dengan apa yang
diperkatakan oleh majikannya itu kerana beberapa hari sebelum itu
perkara sama pernah dinyatakan.
Pathmanabhan turut memberitahunya, dirinya tidak boleh ditangkap kerana dia seorang bergelar datuk dan merupakan seorang peguam.
Berbalik kepada malam 30 Ogos 2010, Kathavarayan memberitahu, dia ada
terdengar perbincangan antara majikannya dengan Sosilawati.
Tertuduh itu mendakwa mendengar Pathmanabhan mengarahkan
Thilaiyalagan untuk 'bunuh driver (pemandu) dan kata Sosilawati yang
suruh berbuat demikian'.
Keesokan harinya pula, Kathavarayan mendakwa pada waktu petang, dia
ada terlihat Thilaiyalagan dan Matan sedang 'membakar orang-orang yang
dibunuh di belakang ladang.'
Apabila ditanya apa yang dimaksudkan dengan orang-orang, tertuduh
terbabit menjawab: ''Driver, peguam Melayu dan seorang lagi saya tak
kenal. Tak ingat muka."
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok.