4 diarah bela diri

N. Pathmanabhan bersama R. Matan, T.
Thilaiyalagan dan R. Kathavarayan dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi,
Shah Alam, Selangor semalam. - BERNAMA
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian di akhir kes pendakwaan selepas berpuas hati bahawa pendakwa raya berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh.
Mahkamah menetapkan perbicaraan untuk kes di peringkat pembelaan selama 15 hari mulai 28 Mei ini.
Dalam penghakiman yang dibacakan selama lebih sejam bermula pukul 9.20 pagi, katanya, keterangan ahli keluarga, saksi awam serta rekod panggilan telefon menunjukkan Sosilawati dan tiga mangsa menuju serta tiba di Banting pada hari kejadian.
Menurut beliau, mereka tidak berjumpa sesiapa kecuali Pathmanabhan di Ladang Gadong bagi mempercepatkan tarikh cek RM3 juta untuk membolehkan Sosilawati memberi bonus kepada kakitangan syarikat serta duit raya kepada keluarganya.
Bagaimanapun, jelas beliau, ketiadaan wang di dalam akaun Pathmanabhan yang disahkan oleh saksi di bank berkenaan menyebabkan Sosilawati dibunuh secara terancang apabila tertuduh-tertuduh dilihat memunggah kayu-kayu yang digunakan untuk pembakaran sebelum itu.
Sementara tiga lelaki yang menemani Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, Ahmad Kamil Abd. Karim dan Noorhisham Mohamad turut terpaksa dibunuh bagi menutup mulut mereka kerana berada di tempat dan pada masa yang salah.
"Sosilawati pergi ke Banting bersama tiga rakan yang menemaninya untuk bertemu Pathmanabhan bagi menukar tarikh cek dan sehingga hari ini, tidak ada seorang pun daripada mereka yang pulang ke rumah.
"Saya putuskan, Sosilawati dan tiga rakannya telah mati akibat perbuatan tertuduh-tertuduh yang dilakukan dengan cara memukul dan membakar mereka. Tidak perlu tuding siapa yang menghayunkan pukulan maut, yang penting mereka memang ada niat bersama untuk membunuh," katanya.
Menurut Hakim Akhtar, kehadiran mangsa di ladang juga disahkan oleh pembantu rumah warga Indonesia, Siti Hamidah Karnax yang bukan sahaja melihat seorang wanita dan tiga lelaki tetapi juga mendengar jeritan suara wanita dan melihat api marak pada malam kejadian.
Katanya, keterangan itu disokong oleh penemuan profil asid deoksiribonukleik (DNA) Noorhisham pada kayu kriket dan dinding salah sebuah rumah di ladang tersebut, selain DNA serta tisu badan milik Kamaruddin dan Ahmad Kamil pada zink yang digunakan sebagai alas.
Begitu juga penemuan tulang manusia dan barangan peribadi milik mangsa di beberapa lokasi hasil maklumat dan pandu arah oleh Thilaiyalagan, Kathavarayan dan seorang lagi pekerja ladang, U. Suresh yang kemudiannya dicamkan oleh ahli keluarga mereka.
"Dua tertuduh tahu di mana ia dibuang sebab mereka yang membuangnya. Mahkamah percaya ia adalah tulang manusia serta milik mangsa-mangsa.
"Tulang-tulang yang mempunyai kesan terdedah kepada suhu yang tinggi juga menunjukkan Sosilawati dan mereka yang menemaninya dibunuh dan dibakar di ladang tersebut," jelas beliau.
Menyentuh tentang dakwaan Pathmanabhan bahawa dia tidak berjumpa Sosilawati pada hari kejadian apabila ditanya oleh bekas suami wanita itu, kata Hakim Akhtar, ia lebih menunjukkan tertuduh bersalah berbanding tidak bersalah.
Katanya, tertuduh bukan orang kampung tetapi seorang peguam yang sepatutnya bertindak berjumpa pihak berkuasa bagi membersihkan namanya.
Dalam keputusan hari ini, beliau turut menolak kesemua kenyataan Suresh yang bercanggah dan menerima keterangan yang tidak bercanggah seperti Ladang Gadong milik Pathmanabhan dan tiga lagi tertuduh bekerja di ladang itu.
Beliau juga menerima rekod pengakuan bersalah Suresh dan mekanik, K. Sarawanan atas tuduhan melupuskan mayat mangsa di Mahkamah Majistret Teluk Datok kerana ia relevan selain tiada sebarang kesilapan dilakukan oleh majistret.
Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21; R. Matan, 22, dan Kathavarayan, 32; didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin, 44; peguam, Ahmad Kamil, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham, 38.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
Selepas mendengar keputusan itu, tertuduh-tertuduh melalui peguam masing-masing memaklumkan mereka memerlukan masa untuk berbincang bagi memilih kaedah untuk membela diri.
Mereka diberi tiga pilihan untuk berbuat demikian iaitu dengan berdiam diri, memberi keterangan tanpa bersumpah dari kandang tertuduh atau memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.
No comments:
Post a Comment