4 diarah bela diri
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my
N. Pathmanabhan bersama R. Matan, T.
Thilaiyalagan dan R. Kathavarayan dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi,
Shah Alam, Selangor semalam. - BERNAMA
SHAH ALAM 30 April - Bekas peguam, N.
Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, R. Matan
serta R. Kathavarayan diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di
sini hari ini, atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati
Lawiya dan tiga lagi, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian di akhir kes pendakwaan
selepas berpuas hati bahawa pendakwa raya berjaya membuktikan kes
prima facie terhadap kesemua tertuduh.
Mahkamah menetapkan perbicaraan untuk kes di peringkat pembelaan selama 15 hari mulai 28 Mei ini.
Dalam penghakiman yang dibacakan selama lebih sejam bermula pukul
9.20 pagi, katanya, keterangan ahli keluarga, saksi awam serta rekod
panggilan telefon menunjukkan Sosilawati dan tiga mangsa menuju serta
tiba di Banting pada hari kejadian.
Menurut beliau, mereka tidak berjumpa sesiapa kecuali Pathmanabhan di
Ladang Gadong bagi mempercepatkan tarikh cek RM3 juta untuk membolehkan
Sosilawati memberi bonus kepada kakitangan syarikat serta duit raya
kepada keluarganya.
Bagaimanapun, jelas beliau, ketiadaan wang di dalam akaun
Pathmanabhan yang disahkan oleh saksi di bank berkenaan menyebabkan
Sosilawati dibunuh secara terancang apabila tertuduh-tertuduh dilihat
memunggah kayu-kayu yang digunakan untuk pembakaran sebelum itu.
Sementara tiga lelaki yang menemani Sosilawati, Kamaruddin
Shamsuddin, Ahmad Kamil Abd. Karim dan Noorhisham Mohamad turut terpaksa
dibunuh bagi menutup mulut mereka kerana berada di tempat dan pada masa
yang salah.
"Sosilawati pergi ke Banting bersama tiga rakan yang menemaninya
untuk bertemu Pathmanabhan bagi menukar tarikh cek dan sehingga hari
ini, tidak ada seorang pun daripada mereka yang pulang ke rumah.
"Saya putuskan, Sosilawati dan tiga rakannya telah mati akibat
perbuatan tertuduh-tertuduh yang dilakukan dengan cara memukul dan
membakar mereka. Tidak perlu tuding siapa yang menghayunkan pukulan
maut, yang penting mereka memang ada niat bersama untuk membunuh,"
katanya.
Menurut Hakim Akhtar, kehadiran mangsa di ladang juga disahkan oleh
pembantu rumah warga Indonesia, Siti Hamidah Karnax yang bukan sahaja
melihat seorang wanita dan tiga lelaki tetapi juga mendengar jeritan
suara wanita dan melihat api marak pada malam kejadian.
Katanya, keterangan itu disokong oleh penemuan profil asid
deoksiribonukleik (DNA) Noorhisham pada kayu kriket dan dinding salah
sebuah rumah di ladang tersebut, selain DNA serta tisu badan milik
Kamaruddin dan Ahmad Kamil pada zink yang digunakan sebagai alas.
Begitu juga penemuan tulang manusia dan barangan peribadi milik
mangsa di beberapa lokasi hasil maklumat dan pandu arah oleh
Thilaiyalagan, Kathavarayan dan seorang lagi pekerja ladang, U. Suresh
yang kemudiannya dicamkan oleh ahli keluarga mereka.
"Dua tertuduh tahu di mana ia dibuang sebab mereka yang membuangnya.
Mahkamah percaya ia adalah tulang manusia serta milik mangsa-mangsa.
"Tulang-tulang yang mempunyai kesan terdedah kepada suhu yang tinggi
juga menunjukkan Sosilawati dan mereka yang menemaninya dibunuh dan
dibakar di ladang tersebut," jelas beliau.
Menyentuh tentang dakwaan Pathmanabhan bahawa dia tidak berjumpa
Sosilawati pada hari kejadian apabila ditanya oleh bekas suami wanita
itu, kata Hakim Akhtar, ia lebih menunjukkan tertuduh bersalah
berbanding tidak bersalah.
Katanya, tertuduh bukan orang kampung tetapi seorang peguam yang
sepatutnya bertindak berjumpa pihak berkuasa bagi membersihkan namanya.
Dalam keputusan hari ini, beliau turut menolak kesemua kenyataan
Suresh yang bercanggah dan menerima keterangan yang tidak bercanggah
seperti Ladang Gadong milik Pathmanabhan dan tiga lagi tertuduh bekerja
di ladang itu.
Beliau juga menerima rekod pengakuan bersalah Suresh dan mekanik, K.
Sarawanan atas tuduhan melupuskan mayat mangsa di Mahkamah Majistret
Teluk Datok kerana ia relevan selain tiada sebarang kesilapan dilakukan
oleh majistret.
Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21; R. Matan, 22, dan Kathavarayan,
32; didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin, 44; peguam,
Ahmad Kamil, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru,
Noorhisham, 38.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun
Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat,
Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
Selepas mendengar keputusan itu, tertuduh-tertuduh melalui peguam
masing-masing memaklumkan mereka memerlukan masa untuk berbincang bagi
memilih kaedah untuk membela diri.
Mereka diberi tiga pilihan untuk berbuat demikian iaitu dengan
berdiam diri, memberi keterangan tanpa bersumpah dari kandang tertuduh
atau memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.