Sosilawati, 3 lagi dibunuh di Ladang Gadong
SHAH ALAM 5 April - Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga lagi berada di Ladang Gadong, Banting untuk berjumpa N. Pathmanabhan sebelum mereka dibunuh oleh bekas peguam itu bersama tiga pekerja ladangnya pada 30 Ogos 2010.
Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff yang berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, kesemuanya dibuktikan melalui keterangan ahli keluarga mangsa serta pembantu rumah warganegara Indonesia yang berada di ladang itu, Siti Hamidah Karnax.
Begitu juga panggilan serta transaksi telefon bimbit masing-masing menunjukkan mereka menuju ke Banting dan berada di Ladang Gadong pada petang hari kejadian.
Menurut beliau, anak Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi mengesahkan ibunya memberitahu mahu berjumpa Pathmanabhan berhubung urusan jual beli tanah serta bagi mempercepatkan tarikh cek yang dikeluarkan.
Sementara rakan sekerja dan isteri pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad; isteri kepada peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim; dan anak saudara pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, juga memberitahu, ketiga-tiganya akan pergi serta berada di Banting.
Ia disokong oleh keterangan Siti Hamidah yang menyatakan dia disuruh membersihkan rumah kerana Pathmanabhan mahu menggunakannya untuk perjumpaan sebelum melihat tiga lelaki dan seorang wanita tiba di ladang tersebut.
Selain melihat tertuduh kedua dan ketiga, T. Thilaiyalagan dan R. Matan menurunkan kayu sebesar pemeluk sehari sebelumnya, saksi itu juga mendengar jeritan seorang wanita sebanyak dua kali sebelum rentetan pada malam kejadian itu diakhiri dengan api menjulang setinggi pokok kelapa sawit.
''Apabila semua keterangan itu dikumpulkan bersama, ia membuktikan Sosilawati dan tiga lagi mangsa berjumpa Pathmanabhan di ladang tersebut pada hari kejadian.
''Kami berhujah bahawa dengan melihat kepada bukti secara keseluruhan, Pathmanabhan sengaja berbohong apabila mengatakan tidak berjumpa Sosilawati pada 30 Ogos 2010 kerana bukti menunjukkan sebaliknya,'' katanya.
Menurut Ishak, kehadiran semua mangsa di ladang itu turut dibuktikan dengan penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) Noorhisham pada kayu kriket yang dijumpai di salah sebuah rumah di Ladang Gadong.
Begitu juga DNA Ahmad Kamil dan Kamaruddin pada zink alas bakar mayat yang ditemui di dalam sungai selepas dipandu arah oleh Thilaiyalagan.
''Apabila ada darah Noorhisham pada kayu kriket dan dinding, tentu ada yang mencederakannya. Kami hujahkan bahawa salah seorang tertuduh yang melakukannya terhadap Noorhisham memandangkan ia ditemui di tempat tinggal tertuduh-tertuduh yang turut disahkan berada di situ semasa Siti Hamidah nampak seorang wanita dan tiga lelaki.
''Kehadiran DNA pada kayu kriket dan dinding menunjukkan Noorhisham berada di ladang kerana ia daripada darah mangsa. Yang pasti, dia juga tidak keseorangan sebagaimana yang dikatakan oleh Erni Dekritawati bahawa tiga lagi mangsa juga menghala ke ladang yang sama.
''Kami juga hujahkan bahawa zink tersebut ada tersentuh Ahmad Kamil dan Kamaruddin memandangkan terdapat DNA dan tisu kedua-dua mangsa padanya,'' katanya.
Berhubung dua telefon bimbit jenis Blackberry yang ditemui hasil pandu arah oleh tertuduh-tertuduh, kata Ishak, ia disahkan milik Ahmad Kamil dan Noorhisham bukan sekadar melalui keterangan isteri masing-masing, tetapi berdasarkan mesej serta panggilan yang dikeluarkan daripadanya.
''Mesej-mesej di dalam telefon itu menunjukkan ada mesej peribadi antara Ahmad Kamil dan Noorhisham dengan isteri masing-masing termasuk sebelum 30 Ogos 2010. Ia jelas menunjukkan kedua-duanya milik mereka.
''Kami juga hujahkan bahawa hampir mustahil untuk seseorang memalsukan maklumat yang ada di dalam rekod panggilan terperinci (CDR) bagi menjadikan ia sama dengan apa yang terdapat dalam laporan forensik atau sebaliknya,'' kata beliau.
Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47; Kamaruddin, 44; Ahmad Kamil, 32; dan Noorhisham, 38.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
Hujahan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok.